You are currently browsing the category archive for the ‘Am’ category.

Orang Melayu ini sebenarnya mempunyai berbagai ciri dek sebabkan mereka sebenarnya bukanlah terdiri daripada satu keturunan. Walau pun seorang itu berbangsa Melayu tetapi kalau mengikut darah yang mengalir dalam badan mereka munkin juga bercampur dengan Jawa, Minangkabau, Bugis, Arab, Siam, Cina, India, Portugis, Belanda, Jepun, Inggeris dan lain-lain. Namun begitu sebelas bangsa  yang saya sebut disini ada hubungan rapat dengan orang Melayu  kerana kesebelas-sebelas ini pernah menjajah atau menjejak kaki mereka di bumi Tanah Melayu khususnya atau pun di Nusantara amnya.

Oleh itu tidak hairanlah kalau orang Melayu ini mempunyai ciri-ciri persamaan walau pun tidak serupa.Diantara  persamaan ini yang paling menonjol adalah:-

1. Mudah lupa – orang Melayu khususnya atau pun manusia amnya mudah lupa. Lebih kurang macam ikan Dory. Sifat pelupa boleh juga membawa kebaikan selain daripada kerugian kepada individu. Kebaikannya adalah apabila manusia dapat melupakan peristiwa sedih yang  telah dialami. Kerugiannya ialah ada pihak akan mengguna sifat pelupa ini untuk keuntungan mereka. Misalnya mengambil hati orang Melayu semula apabila pada awalnya telah mengabaikan kepentingan mereka.

2. Mudah bertolak ansur  dan pemaaf –  kedua-dua sifat ini dan sifat pelupa adalah saling berkaitan. Orang Melayu senang dipujuk dan jenis pemaaf oleh itu mereka mudah lupa atas kesalahan orang lain dan mudah memaafkan sipesalah. Selain daripada orang Melayu, bangsa yang paling menonjol dengan sifat ini ialah orang Jawa. Orang Jawa khususnya amatlah merendah diri dan bersopan. Maka diceritakan kepada penulis alkisah seorang Jawa yang kakinya telah dipijak orang lalu dia bersuara dengan nada yang lembut….” Maaf  Pak ..kaki saya dipijak”…..??

3. Nak cepat kaya – sifat ini bukan sahaja khusus kepada orang Melayu tapi  munkin juga kepada manusia amnya. Orang Melayu di Nusantara ini  memang hendak cepat kaya tanpa berusaha. Mengikut Sunatullah, semua makhlokNya kena berusaha untuk berjaya. Namun  menjadi satu kelaziman bagi orang-orang Melayu yang memilih jalan pintas kearah mencari kekayaan. Ekoran daripada ini timbullah berbagai kejadian jenayah penipuan. Ada yang menjual batu ajaib kononnya boleh membawa rezeki atau pun boleh mengubat segala penyakit. Sistem melabur wang yang dipanggil labu peram dimana mendapat pulangan yang tinggi dalam masa yang sengkat. Kalau pun betul munkin sekejap sahaja kerana selepas beberapa kali pusingan labu peram pun bertukar jadi labu masak gulai.

4. Tiada perasaan menyayangi harta dan kemudahan awam  –  orang Melayu Nusantara tidak prihatin diatas kemudahan-kemudahan percuma yang disediakan untuk kegunaan umum. Jika ada telefon awam tidak boleh diguna kerana telah dirosakkan. Tandas-tandas awam samada rosak atau dalam keadaan kotor dan berbau. Alat-alat pengesan bencana alam  di tengah-tengah laut  dirosakkan oleh nelayan yang kononnya menghalang kerja menangkap ikan.

5. Tiada keaslian dan kreativiti – sifat ini  mudah dilihat dalam bidang hiburan. Kebanyakan penggiat bidang ini suka meniru. Kalau terdapat produksi filem daripada luar negara mendorong kepada pembikinan cerita-cerita berunsur seram dan hantu maka berlumba-lumbalah syarikat produksi filem Melayu menjurus kearah itu. Sehinggakan pada setiap hari Khamis dikhaskan slot drama seram di TV arus perdana. Apa kaitan cerita seram dengan malam Jumaat? Adakah pada malam Jumaat makhlok asing akan keluar  pergi ke disko  dan berkaraoke? Bila TV luar negara cenderong kepada rancangan realiti maka sibuklah setiap saluran TV di Malaysia menyiarkan program realiti.

Ada pula satu rancangan hiburan saya berpendapat hanya sesuai untuk penonton dewasa bertajuk “Jangan Tidur Lagi”. Rancangan ini ala rancangan”David Letterman”. Kenapa saya katakan rancangan ini sesuai untuk penonton dewasa kerana ianya ditayangkan lewat malam. Tajuknya juga menjelaskan bukan untuk penonton kanak-kanak. Namun begitu penulis kehairanan kenapa pada satu atau dua episod rancangan tersebut  bersama-sama hos tetap muncul dua orang kanak-kanak sebagai hos jemputan. Kenapa penerbitnya pendek akal?
Kalau rancangan masakan dan iklan makanan ini tidak boleh dikira banyaknya. Maka tidak hairanlah kalau  perangkaan pada tahun 2006, setinggi 43.1% daripada rakyat Malaysia menjadi obis. Berapa peratus pula mereka yang obis ini terdiri daripada orang Melayu?

6. Mudah terpengaruh dengan budaya luar – sesetengah orang Melayu percaya apa saja yang datang daripada luar itu adalah baik dan maju. Salah satu pengaruh Barat yang sudah lama meresap kedalam sanubari orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya adalah laman sosial seperti Facebook dan sebagainya yang dipanggil media alternatif. Kemudian timbul pula budaya duduk bantah. Budaya duduk bantah  sudah bermotifkan politik hingga menjadi ganas dan merosakkan harta individu dan kerajaan.
Kalau pasukan bola sepak daripada luar negara ini lebih mendapat sanjungan daripada pasukan negara sendiri. Sanjungan mereka sehingga ketahap menubuhkan kelab di Malaysia. Ahli-ahli koporat yang berwang sanggup beli pasukan bola sepak luar negara semata-mata kerana prestij selain memberi pulangan yang lumayan. Apa ceritanya dengan pasukan bola sepak negara sendiri? Siapa yang sanggup membantu  dan menaikkan nama pasukan bola sepak kita?

Orang Melayu ini memang suka terikut-ikut dengan pengaruh luar tidak kiralah daripada mana. Bidang-bidang hiburan dan makanan adalah yang paling senang dipengaruhi. Jika anda pergi kemana-mana cawangan McDonald, Burger King, Starbucks, siapa pelanggan yang paling ramai?

Jika kita perhatikan dalam bidang hiburan lagi, pada setiap beberapa bulan diadakanlah pesta Jom Heboh. Rancangan TV pula seperti Mentor+Protege, MyVersus telah menjadi hiburan hangat sekarang.Tidak ketinggalan juga program mencari Imam Muda dan Uztazah telah menjadi komersial. Jika diperhatikan majoriti yang mengambil bahagian itu siapa? Majoriti yang mengunjungi Jom Heboh itu siapa? Apakah tujuan diadakan semua ini? Adakah untuk melalaikan orang Melayu Islam?

Selain budaya Barat terdapat juga kecenderungan dan minat kepada budaya Timur seperti daripada negara Korea, China dan Jepun. Sekarang budaya K-Pop dan J-Pop menular dikalangan remaja diseluruh Nusantara. Malu cakap tapi anak perempuan penulis juga diantara yang minat kepada drama bersiri Korea dan Jepun, kumpulan penyanyi KAT-TUN dan lagu-lagu jepun. Tidak ketinggalan juga penulis diantara yang meminat dan mengikuti drama Korea pada satu ketika. Setakat ini budaya Korea masih boleh diterima tetapi hanya pada makanan dan bidang hiburan seperti muzik dan drama sahaja. Namun selaku rakan kongsi perniagaan, harap dilupakan. Mereka sebenarnya setaraf dengan rakan kongsi daripada India, Italy dan China. Kebanyakannya tidak jujur. Kenyataan  ini  adalah berdasarkan daripada pengalaman dan bukan rekaan.

Sedang kumpulan minoriti di Malaysia berusaha gigih menuju kejayaan dan menjadi kaya raya , kumpulan majoriti (siapa lagi kalau tak orang Melayu) masih bercakar sesama sendiri dan terpengaruh dengan  budaya luar  dan dakyah musuh. Anak-anak muda Melayu kononnya hendakkan kebebasan bersuara. Tetapi kalau kebebasan bersuara itu menghalang hak kebebasan orang lain, ada apa dengan kebebasan?

Kebebasan itu bukanlah mutlak. Kalau nak bebas pergilah duduk dipulau mana-mana yang tiada penduduk. Barulah boleh tepuk dada tanya selera. Tetapi itu pun kalau  tiada penghidupan liar  dipulau  tersebut.  Disebaliknya manusia yang datang kesitu  boleh dianggap sebagai menceroboh kebebasan penghidupan liar , akhirnya ada apa dengan orang Melayu?

Gunong Singgalang daripada bilik Hotel,The Hills

Sebaik saja menjejakkan kaki kedalam bangunan Bandar Udara Internasional Minangkabau kedengaran azan Asar berkumandang. Buat pertama kalinya didalam sejarah kunjungan kami keluar Malaysia, terdengar azan dalam bangunan lapangan terbang. Sungguh terharu dan rasa kesyukuran kepada Ilahi. Kunjungan kami ke Bukit  Tinggi, Padang adalah agak mendadak  walaupun saya sudah lama impikan untuk kemari. Apa yang saya ingat  daripada arwah ibu saya bahawa nenek dan datuknya  berasal daripada Bukit Tinggi. Selainnya diluar pengetahuan saya.

Bandar Udara atau didalam bahasa Malaysia Lapangan Terbang , terletak di Tabing, Padang. Oleh itu nama lain lapangan terbang ini ialah Lapangan Terbang Tabing. Penduduk disini khususnya dan juga di Indonesia amnya gemar memendekkan bahasa yang diguna. Maka janganlah terasa pelik jika terdapat dipapan tanda disiring jalan tertera perkataan Bandara. Ini adalah rengkasan daripada perkataan Bandar Udara.
Kalau  dari Malaysia hendak ke Padang, Sumatera, kita harus menaiki penerbangan Air Asia walau pun dulu MAS  mempunyai laluan ke sini. Tetapi  sekarang sudah dihentikan. Bila dan kenapa tidak pasti. Sebenarnya kunjungan saya ke Bukit Tinggi, Padang ini adalah yang pertama kali. Pengalaman baru bila menaiki penerbangan  Air Asia selepas enam tahun adalah menikmati hidangan nasi briyani. Makanan ini perlu ditempah semasa menempah tiket on-line. Rasanya seenak nasi briyani yang disediakan dalam  penerbangan FireFly ke Kota Kinabalu sebelum perkhidmatan ini dihentikan sama sekali.

Seiring dengan kunjungan yang pertama kali  ke Padang, berlaku pula pengalaman buat pertama kalinya keatas diri saya. Elok saja masuk kedalam bangunan  Bandar Udara Internasional Minangkabau kami pun menuju kaunter pemeriksaan paspot. Bila tiba giliran saya, dan sejurus  selepas petugas imigresen tersebut memeriksa paspot ,  beliau  mengarah  supaya saya berdiri didepan kamera yang terletak dimejanya. Kehairanan saya pun turutkan saja. Dalam fikiran, adakah wajah saya dalam paspot mencurigakan sehingga perlu diambil foto sekali lagi. Saya sedar bahawa saya tidaklah fotojinik. Perasaan hairan saya hilang bila suami  menjelaskan munkin foto dalam paspot tidak begitu terang sebab itulah petugas imigresen mengarah  saya berbuat demikian. Sedap sikit hati.

Sebaik saja keluar daripada bangunan lapangan terbang kami disambut oleh pemandu kenderaan daripada  The Hills. Hotel The Hills adalah  nama tempat penginapan yang termasuk dalam pakej cuti  4h/3m di Bukit  Tinggi, Padang  oleh Air Asia. Perjalanan mengambil masa lebih daripada 2 jam. Apabila agak hampir  ke pusat bandar  kelihatan sebuah bangunan bernama Rumah Sakit Stroke Nasional. Terfikir dek saya kemunkinan statistik  penyakit stroke disini begitu tinggi sehingga memerlukan rumah sakit khas. Sebelum sampai ke The Hills, kami sempat singgah untuk makan malam. Sebagai membuka langkah kami menjamu nasi padang. Selepas kekenyangan bercampor dengan keletihan daripada perjalanan yang menempuhi selekoh demi selekoh dan trafik yang agak sesak maka kami berkeputusan untuk rehat sahaja dibilik. Aktiviti seterusnya akan dimulakan keesokan pagi.

Saya dikejutkan daripada tidur oleh bunyi enjin motorsikal atau dipanggil honda disini . Sejurus kemudian kedengaran azan subuh dan dituruti dengan suara kanak-kanak mengaji Al-Quran. Walaupun pagi Ahad tetapi aktiviti keagamaan telah mula begitu awal. Kami pun mengambil masa bersiap untuk turun sarapan. Sebelum itu , suami saya berjaya menghubungi pemandu pelancong yang disyorkan oleh adik ipar saya. Syukurlah rezeqi menyebelahi kami kerana beliau bersetuju untuk menjadi pemandu selama 3 malam kami berada di Bukit Tinggi.

Hari 2 ( sebenarnya hari 1 aktiviti lawatan ) : Pemandu kami adalah  seorang penduduk tempatan dan bekerja dengan Royale Holiday.Kami memanggilnya Pak Jon. Beliau tidaklah begitu berumur tetapi di Indonesia bila sudah berkeluarga dipanggil Bapak. Seperti yang dijanjikan beliau tiba di lobi hotel kira-kira jam 10:00pagi waktu tempatan. Waktu tempatan Indonesia lewat 1 jam dengan waktu di Malaysia.

Itineri kami yang pertama pagi itu adalah mengunjungi Rumah Sulaman Hj Rosmah. Didalam perjalanan ke tempat ini pemandu kami bercerita tentang aktiviti ekonomi di Bukit Tinggi. Penduduk disini kebanyakan menanam padi, berusaha menenun kain songket dan menyulam. Selain daripada hasil kraf tangan,  mereka juga usahakan bermacam aneka keropok. Keropok terkenal di Bukit Tinggi  ialah keropok Sanjai. Keropok ini diperbuat daripada ubi kayu  dan bersalut cili. Jika tidak mahu yang bercili  pun ada.

Selepas melihat hasil sulaman di Rumah Hj Rosmah kami  beransur  ke  Cafe KINIKO.  Disini disediakan pisang salai goreng, minuman daun teh kopi,  minuman kopi  tempatan  yang ditanam oleh orang kampong  berhampiran  dan jus pinang muda. Semuanya dihidangkan percuma melainkan jus pinang yang dicaj sebanyak 10k Rp  segelas iaitu lebih kurang RM3.00.Pemandangan di KINIKO Cafe amat  tenang sekali  dengan gambaran bukit-bukau dan sawah padi sejauh mata memandang.  Selepas siap menghirup kopi panas, merasa pisang salai goreng dan tidak lupa juga mencuba  jus pinang muda kami pun beransur kedestinasi seterusnya. Diam tak diam sudah tiba masa untuk makan tengah hari walaupun kami masih kenyang.

Kami sambong perbualan dengan Pak Jon. Saya menerangkan kepada beliau tujuan utama saya kemari adalah untuk melihat keadaan kampong nenek moyang( disebelah ibu ) saya. Tapi malangnya saya tidak tahu apa nama kampong dan suku mereka. Pak Jon menambah jika diketahui nama suku, beliau boleh bantu mengesan keluarga arwah ibu saya. Beliau  pernah membantu satu keluarga daripada Malaysia yang datang mencari keluarga mereka di Bukit Tinggi hingga berjaya. Beliau hanya mengambil masa 2 hari saja. Saya langsong bertekad bahawa sekembalinya kami ke Malaysia saya akan mengumpul seberapa  banyak maklumat yang boleh. Sementara itu  kami hanya menghabiskan percutian ini dengan menikmati keindahan pemandangan di Bukit Tinggi sambil membeli cendera hati untuk keluarga  di Malaysia.

Pak Jon turut menceritakan kepada kami bahawa penduduk disini kebanyakan terdiri daripada orang Minangkabau dan berugama Islam. Maka  tidak hairanlah bila kelihatan masjid disetiap jalan di dalam bandar dan disepanjang perjalanan daripada lapangan terbang menuju tempat penginapan kami.Untuk makan tengah hari kami dibawa ke Pondok Flora di kawasan Tanah Datar.  Suasananya juga begitu hening dan nyaman. Walaupun kami tidak begitu lapar bolehlah habis nasi 1/2 pinggan. Selesai makan  dan solat zohor kami teruskan perjalanan ke aturcara climaks  iaitu mengunjungi Istano Basa Pagaruyung yang terletak di Batu  Sangkar.

Menurut Pak Jon istana tersebut sedang diperbaiki kerana mengalami kebakaran. Menurutnya lagi  bumbung rumah Minangkabau  yang bertanduk membawa maksud tersendiri. Jika didapati bumbung rumah itu mempunyai sepasang tanduk bererti  hanya terdapat  1 keluarga saja yang mendiami rumah tersebut. Jika 3 bermakna 2 keluarga dan 4 bermakna rumah ketua kampong. Jika 5 rumah ketua suku dan jika 6 keatas kediaman keluarga diRaja.
Sebelum saya menjelaskan lebih lanjut aktiviti-aktiviti yang dilakukan pada keesokan hari  biar saya menceritakan asal usul  perkataan Minangkabau  dan Pagaruyung.
InsyaAllah  didalam tampalan seterusnya…

p.s. Mengikut Pak Jon Rumah Sakit  Stroke Nasional  yang berada di Bukit Tinggi ini  adalah satu satunya di Indonesia. Ini menguatkan lagi tangkapan saya bila diberitahu bahawa masakan penduduk disini banyak yang berlemak. Maka penduduk yang  diserang penyakit stroke adalah  satu perkara yang sering berlaku.

Percayakah  anda  bahawa  ANGKA  mengawal  atau mempengaruhi kehidupan kita  sehari-hari ?

Mengapa tidak?

Pada amnya kita tahu bahawa ANGKA mempunyai  kaitan dengan bidang ilmiah.Namun begitu, kita tidak dapat menafikan bahawa ANGKA juga mempunyai pengaruh dalam kehidupan kita sama ada  secara langsong atau tidak langsong.

Unsur ANGKA ini banyak terdapat pada ayat-ayat suci Al-Quran-ul-Karim.Diantaranya, unsur ANGKA menunjukkan tempoh sesuatu kejadian.Contohnya, Allah swt. mengambil  enam (6 ) masa untuk menjadikan  langit dan bumi dan segala-gala yang ada diantaranya.ANGKA yang disebut dalam Al-Quran juga membawa maksud bilangan atau jumlah. Contohnya, langit (syurga ) dijadikan tujuh(7) lapis  dan begitu juga bumi. Seterusnya Allah menjadikan manusia  berpasangan iaitu dua (2). Begitu juga keadaan dengan makhlukNya yang lain.

ANGKA yang membawa maksud bilangan atau jumlah menerangkan bahawa di sisi Allah terdapat dua belas (12) bulan dalam satu (1) tahun. Diantara dua belas bulan ini empat (4 ) daripadanya  dianggap  bulan yang dihormati , iaitu bulan  Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Hukum Islam juga  menetapkan bahawa seorang kaum Adam boleh beristeri  empat (4) pada satu masa. Namun hukum ini diikuti  dengan terma dan syaratnya.

ANGKA yang membawa maksud tempoh dapat menjangka tarikh bayi akan dilahirkan.Pada lazimnya kandungan bayi  dalam rahim ibu  adalah selama  sembilan (9) bulan dan beberapa hari, selalunya 9 atau 10 hari. Bila ANGKA ini dicapai , maka  dengan kehendak  Allah , lahirlah bayi itu  dalam keadaan sempurna dan sihat. Walau bagaimana pun jika  diatas kehendak Allah juga,  bayi itu dilahir ketika  kandungan  dalam rahim baru 7 bulan  maka ini akan mengakibatkan  keadaan bayi itu tidak sempurna  dan terpaksa dibantu dengan  mengguna alat inkubator. Namun jika bayi itu dilahirkan pada usianya 8 bulan, maka keadaan  bayi  itu  adalah dalam bahaya. Selalunya  susah diselamatkan berbanding  jika  bayi dilahirkan semasa 7 bulan. Begitulah ANGKA memainkan peranannya.

Selain  ANGKA  membawa maksud tempoh dan bilangan atau jumlah, ANGKA dalam bidang ilmiah dapat membantu ahli-ahli profesyenal  menjalankan siasatan dan penyelidekan.Jika anda masih ingat terdapat satu drama TV yang berjodol ” Numbers ” , yang menceritakan  bagaimana seorang pakar kaji ANGKA membantu pihak polis menyelesaikan kes-kes jenayah.

Dalam kehidupan seharian, kita banyak mengguna ANGKA. Contohnya ANGKA yang menunjukkan waktu. ANGKA sebagai  petunjuk  waktu diguna untuk  kita bangun tidur, untuk tujuan temujanji , untuk memulakan mesyuarat dan lain-lain aktiviti yang penting.

ANGKA juga menunjukkan ukuran atau sukatan sesuatu. Tukang jahit perlu mengambil ukuran badan sebelum dia boleh memotong dan menjahit baju kita.Kalau ukuran salah baju tidak selesa dipakai.Sukatan bahan-bahan mentah dalam resipi dapat membantu dan menyenangkan kerja tukang masak atau mereka yang baru hendak belajar memasak.Salah dalam menyukat, akhirnya masakan kita dibuang ke longkang!

ANGKA yang mempunyai  ciri keunikan mudah diingat.Misalannya, kalau pasangan yang hendak bernikah/bersanding  sudah pasti memilih tarikh yang unik, mudah diingat atau yang memberi sesuatu maksud kepada mereka. Pada tahun ini, tarikh yang mempunyai ANGKA yang menarik ialah 10/10/10. Pada tahun hadapan munkin ada  yang merancang  untuk mengijab kabul pada 11/11/11 . Bagi mereka yang mampu pula bolehlah membeli nombor yang menarik atau yang mempunyai Feng Shui yang baik untuk diguna pada pelet kereta mereka.

Seterusnya, jika anda ingin tahu rahsia disebalik  tarikh lahir anda,bolehlah dirungkai seperti berikut. Cuba anda  campurkan tarikh lahir anda sehingga  perolehi  satu ANGKA. Contohnya,  jika tarikh lahir anda ialah 18hb Sep 1998, ini bermakna ANGKA anda  ialah 9. Sembilan bererti  kejayaan. Sama ada ANGKA  9 ini ada hubungan rapat dengan nasib dan  peribadi anda, janganlah diambil pusing kerana ini hanya setakat hiburan saja. Selanjutnya, sila lihat maksud untuk angka-angka berikut  :-

1 –  ketua

2 –  penyabar

3 –  boros

4 –  pengkaji selidik

5 – minat berniaga

6  – kaya

7 – mudah mendapat sokongan

8 – degil

9 – kejayaan

Menurut  kepercayaan  kaum Tiong Hua pula ANGKA 9 ialah panjang umur dan 8 membawa maksud  kemakmuran . Tetapi  janganlah anda terlalu taksub dengan tafsiran ini. Ianya setakat  hiburan sahaja. Kuasa penentu adalah  daripada  Allah swt dan  usaha gigih diri sendiri.

Selain  ANGKA  diguna untuk  tujuan hiburan  semata-mata,  ianya juga  mempunyai  pengaruh negatif  mahu pun positif.  Pengaruh  negatif  yang dimaksudkan  ialah apabila manusia  bertaruh atau berjudi  mengguna ANGKA. Tujuan utama adalah  kerana  hendak  cepat kaya.  Ugama Islam melarang  penganutnya berjudi  kerana  ini  akan memudaratkan kehidupan  manusia.  Lagi pun hasil daripada perjudian  adalah haram  dan  kita tidak boleh memberi anak isteri kita makan dengan wang haram.

Selain ANGKA yang membawa maksud Feng Shui yang baik, terdapat pula golongan yang memilih ANGKA untuk mencatat peristiwa hitam dalam sejarah dunia.Contohnya, adakah anda masih ingat kejadian tragis, September 11 ? Kalau ditulis tarikh ini mengguna ANGKA, ianya merupakan 911. ANGKA 911 ini  adalah nombor talian kecemasan bagi rakyat di Amerika untuk menghubungi pusat bantuan.

Pengaruh atau kesan  positif ANGKA  sebaliknya terdapat dalam hal-hal keselamatan. Di jalan-jalan raya terutama di Lebuhraya selalu terdapat kemalangan kerana pemandu tidak ikut had kelajuan. Jika had kelajuan menunjukkan 110 km, pemandu hanya mengundang  bahaya jika memandu lebih daripada had yang dibenarkan.

Sekarang  kita hidup  didalam era digital. Anak-anak semakin bijak pandai.Keupayaan anak-anak diukur dengan bilangan pangkat A diperolehi dalam Peperiksaan Am.Namun sebagai ibu bapa contoh jangan kita mengadili keupayaan anak-anak dengan berapa ANGKA pangkat A diperolehi tetapi kita adili sedalam mana ilmu yang diperolehi.

Kalau hendak dirungkaikan, banyak lagi aktiviti-aktiviti  kehidupan seharian  manusia  yang  ada  hubung kait  dengan  ANGKA. Tetapi cukup setakat  ini. Kesimpulannya  ANGKA boleh membawa  kemudaratan jika disalah gunakan atau disalah hitung. Sebaliknya ANGKA juga boleh membawa kejayaan dan kemakmuran. Tidak boleh dinafikan  ANGKA  banyak memain peranan yang  signifikan  kepada kehidupan kita.

Akhir sekali penulis ingin bertanya, apakah signifikasi  ANGKA  ini ,  0 ?

😉

May 2024
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031