1.0 Sejarah Negara Filipina Secara Rengkas

1.1 Pengislaman Sulu dan Magindanao (Mindanao)

Tahukah anda bahawa Filipina pada satu masa dulu adalah sebuah negara Islam?

Ya, benar.

Mengikut fakta sejarah pemerintahan Islam di Filipina telah berkembang dari Pulau Sulu hingga ke utara pada akhir abad ke15. Pada zaman itu, Manila dipanggil Selurong dan diperintah oleh Raja Sulaiman Mahmud dengan bantuan Raja Matanda.Wilayah Tondo pula diperintah oleh Raja Iskandar. Pada masa yang sama Islam telah berkembang sehingga ke Batangas, Pampanga, Cagayan, Mindoro, Catanduanes, Bonbon, Cebu, Oton dan Laguna.

1.2 Kronologi  Kedatangan Pendakwah Islam ke Sulu dan Magindanao

Fakta-fakta dibawah adalah mengikut Tuan Syed Muhammad Naquib Al-Atas dalam bukunya “Historical Fact And Fiction” dan tarsila * Magindanao.

1.Islam telah sampai ke Filipina seawal abad ke13 apabila pendakwah berbangsa Arab dengan gelaran Tuan Masha’ika menjejakkan kakinya di Pulau Sulu. Pada zaman itu Filipina dikenali sebagai Kepulauan
(Arkipelago) Sulu.

2. Pedagang dan pendakwah Arab bergelar Karim Al-Makhdum dari Pasai  sampai ke Sulu pada tahun 1360. Beliau diberi gelaran Sharif Awliya.

3. Sharif Awliya kemudian  meneruskan perjalanannya ke Magindanao  dan menyebar ugama Islam disana.

4. Pada 1390 datang pula Syed Abu Bakar seorang Arab dari Selatan Arab ke Sulu bagi menyambong usaha-usaha Sharif Awliya.

Syed Abu Bakar kemudian menaiki tahta sebagai Sultan Sulu pertama dan mengguna gelaran Sharif Hashim.

5. Sharif Awliya adalah pendakwah Islam yang pertama tiba di Magindanao.

6. Pendakwah kedua yang digelar Sharif Maraja pula datang ke Magindanao pada 1380 (setelah Sharif Awliya balik ke Pasai) dan menyambong penyebaran Islam.

7. Pada 1440 (bukan 1515 seperti yang direkod oleh pengkaji sejarah Cecil Mabul), Sharif Kabungsuan telah sampai ke Magindanao dan memulakan pemerintahan Kesultanan Magindanao.

Walaupun tiada dinyata dalam tarsila Magindanao, tetapi mengikut cerita tradisi dan boleh dipercayai, Sharif Kabungsuan mempunyai dua abang bernama Alawi dan Ahmad atau Ahmad dan Muhammad.Diantara kedua abangnya, yang tua sekali adalah pengasas kesultanan Brunei dan abangnya yang kedua pengasas Kesultanan Sulu. Secara umumnya dipercayai bahawa,Sultan-Sultan Sulu, Magindanao dan Brunei adalah adik beradik.

Berdasarkan kepada cerita tradisi yang boleh dipercayai, kita dapat memahami  bagaimana Borneo Utara (Sabah sekarang) dan Palawan yang dulunya dibawah jajahan Kesultanan Brunei bertukar tangan kepada Sultan Sulu.

Kita juga dapat memahami mengapa  Kerajaan Filipina  semasa pemerintahan Presiden Macapagal (seterusnya semasa pemerintahan Presiden Marcos) menuntut Sabah setelah terbentuknya gagasan Malaysia.

1.2  Kedatangan Imperialis Katolik Spain

Pada 17 Mac 1521, pengembara berbangsa Portugis, Ferdinand Magellan, dibawah pemerintahan kerajaan Spain, telah sampai ke Pulau Samar. Mengikut peta terkini Negara Filipina, Samar adalah dibahagian Timur Visayas iaitu dibawah wilayah Kepulauan Visayas. Beliau terus menaklok dan menamakan Samar Arkipelago Lazaro.
Tujuan sebenar pelayaran Magellan ke Asia Timur adalah untuk menyebarkan ugama Katolik.Beliau berjaya mempengaruhi Raja Humabon, Raja Pulau Cebu dan Permaisurinya Hara Amihan memasuki ugama Katolik. Penaklokan Magellan keatas Samar hanya untuk tempoh yang sengkat kerana Datu Lapu Lapu telah menyerang Magellan dan orang-orangnya apabila mereka mendarat di Pulau Mactan pada 21 April 1521. Magellan dan orang-orangnya terbunuh.

Selepas kekalahan dan kematian Magellan banyak lagi ekspedisi daripada kerajaan Katolik Spain datang menyerang. Akhirnya pada 1543, Komander Ruy Lopez de Vallilobos telah berjaya menawan kembali Samar dan menaklok Leyte. Beliau telah menamakan kepulauan tersebut “Las Ilas Filipinas” atau pun “Philippines” (Filipina) sempena nama Putra Philip Spain ketika itu.

Oleh kerana “Philippines” terdiri daripada beribu pulau, maka penawanan sepenuhnya hanya berlaku pada 1565 dan kerajaan katolik Spain telah memerintah selama 333 tahun iaitu sampai 1898. Pada abad ke20 Kepulauan Sulu telah bertukar nama kepada Filipina pada keseluruhannya. Bukan sahaja Kepulauan Sulu telah bertukar nama tetapi bertukar bentuk dan kedudukan geografi; kuasa pemerintahan daripada Islam kepada Katolik ; kuasa Sultan Sulu akhirnya jatuh kepada kerajaan penjajah Spain dan penduduk Islam menjadi pelarian dan majoriti lari ke Selatan Filipina.

2.0  Kebangkitan Pejuang Kebebasan

Apabila pemerintahan Kerajaan Islam di Spain yang memerintah selama 400 tahun berjaya dijatuhkan oleh orang-orang Spain pada 1492 maka pengembara-pengembara Spain telah mengorak langkah untuk belayar keluar sebagai tujuan menaklok dan menyebarkan ugama Katolik.
Pelayaran mereka sampai ke Asia Timur sehingga ke Kepulauan Sulu pada 1521.Semasa pemerintahan Spain di Filipina rakyat ditindas dan penduduk-penduduk Islam jadi pelarian.Mereka dipaksa menukar ugama ke Katolik. Jika menentang mereka dibunuh. Segala kuasa dan tanah jajahan Sultan dirampas. Selama lebih daripada tiga abad penduduk Islam dan bukan Islam hidup sengsara.

Apabila Spain kalah dalam peperangan Amerika-Spain (1565 -1898) di Cuba, Amerika telah tunjuk minat untuk menaklok Filipina. Kerajaan Kolonial Amerika pula memerintah Filipina selama 48 tahun dan akhirnya pada 4 Julai 1946, Filipina telah dimerdekakan.

Selepas Filipina merdeka daripada kuasa Kolonial Amerika,majoriti penduduk Islam telah berpindah ke Magindanao, Zamboanga, Palawan, Sulu,Visayas ,Bisalan danTawi-Tawi. Walaupun telah merdeka nasib penduduk Islam dipinggirkan. Akibat ditindas maka ramai yang menentang kerajaan sehingga mereka dikenali sebagai  pejuang kebebasan Moro.

2.1 Penubuhan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF)

Sebenarnya perkataan Moro adalah nama yang diberi oleh orang Spain kepada penduduk Muslim di Filipina pada tahun 1570. Moro adalah daripada perkataan “Moors”, iaitu orang Islam dari Utara Barat Afrika yang menawan Spain pada 711 Masehi. Masyarakat Eropah umumnya menamakan setiap orang Arab dan Afrika Muslim (yang berkulit hitam) sebagai Moors. Namun pada tahun 1578, kerajaan penjajah Spain telah menamakan hanya orang-orang Muslim di Sulu dan di Mindanao sebagai Moro.

Apabila tercetusnya pembunuhan yang dipanggil Pembunuhan Jabidah ( Jabidah Massacre) pada 1968 oleh Angkatan Tentera Filipina keatas pejuang Moro, seorang penuntut Moro ketika itu, bernama Nur Misuari , telah menubuhkan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro pada Mac 1969. Pergerakan ini dikenali sebagai MNLF .
Pembunuhan Jabidah atau “Corregidor Massacre” ini menjadi titik tolak bagi Nur Misuari untuk bersatu dengan pejuang-pejuang Moro yang lain menubuh MNLF untuk  menentang Kerajaan Filipina.Matlamat perjuangan adalah memohon kebebasan keatas Wilayah Magindanao dengan mengiktirafnya sebagai entiti Autonomi Muslim Mindanao.

2.1.1 Perjanjian Damai MNLF-GRP

Beberapa perjanjian damai telah ditandatangani antara pihak Kerajaan Republik Filipina (GRP) dengan MNLF. Perjanjian Damai telah melangkau lima era pimpinan Presiden dan yang keenam dan terkini adalah dibawah pimpinan Presiden Benigno Aquino III. Sepanjang tempoh pimpinan lima Presiden, berlaku beberapa pertempuran diantara pihak Kerajaan Filipina dengan MNLF dan dianggarkan seramai 120,000 nyawa rakyat (samada pejuang Moro; penduduk Islam; tentera kerajaan; mahu pun rakyat bukan Islam) telah terbunuh.

Berikut adalah Perjanjian-Perjanjian Damai yang memberi impak kepada MNLF :-

  • Pada 1989, Perjanjian Damai MNLF-GRP Tripoli telah ditandatangani semasa era Presiden Marcos. Didalam perjanjian ini MNLF menuntut GRP mengiktiraf  Mindanao sebagai “Autonomous Region of  Muslim Mindanao”(ARMM). Suka diingatkan bahawa rangkakerja perjanjian damai ini adalah atas dayausaha Presiden Libya, Muammar Gaddafi. Namun perjanjian ini gagal mencapai matlamat.
  • Pada 1992, Presiden Fidel Ramos telah membuka jalan semula dengan mengadakan Pendamaian Kebangsaan dan dituruti dengan Perjanjian Damai MNLF-GRP 1996. Rangkakerja Pendamaian MNLF-GRP 1996 telah diguna sebagai landasan untuk rundingan-rundingan seterusnya sehingga 2011.

Ekoran daripada kegagalan demi kegagalan selepas setiap Perjanjian Damai ditandatangani maka diputuskan perlunya satu badan sebagai mediator bagi memastikan kedua-dua pihak menghormati syarat-syarat yang telah ditetapkan. Maka pada 2001, semua parti bersetuju bahawa mana lagi negara yang paling sesuai menjadi mediator dan pemantau kalau tidak Malaysia.

Pejuang-pejuang Moro kini mulai lihat cahaya terang dipenghujung terowong apabila Presiden Aquino III menunjukkan kesungguhan untuk melihat perjanjian damai dicapai.Presiden Aquino III atau lebih dikenali sebagai Ninoy telah membuka langkah dengan menjemput Al-Haj Murad Ebrahim, Ketua Moro Islamic Liberation Front (MILF) untuk berbincang.

Pada 5 Ogos 2011, mereka telah bertemu di Tokyo. Hasil daripada pertemuan ini dan diikuti dengan beberapa perbincangan lagi di Kuala Lumpur  telah berjaya membawa kepada upacara menandatangani satu rangkakerja kearah pendamaian antara Kerajaan Filipina (GPH) dan MILF.

Pada 15 Okt 2012 di Rizal Hall, Istana Malacanang  Manila, upacara menandatangani satu perjanjian damai telah disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Hj Mohd Najib bin Tun Hj Abd Razak sebagai wakil Negara pemantau bersama Presiden Aquino III. Turut serta hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman dan beberapa Menteri dari Sabah dan Semenanjong.

2.1.2 Ke Arah Pembentukan Satu Entiti Autonomi Bangsamoro

Rangkakerja Perjanjian Damai kali ini adalah  kearah membentuk satu entiti Autonomi “Bangsamoro” seperti yang dipersetujui oleh Presiden Aquino III dan bukan lagi Wilayah Autonomi Muslim Mindanao. Jangkamasa untuk mencapai pembentukan ini adalah sehingga 2016.Dimana selepas itu pejuang-pejuang Moro harus meletakkan senjata mereka dan kembali kepada masyarakat Bangsamoro dan lalui hidup seperti rakyat biasa.Seterusnya wilayah-wilayah yang bersetuju untuk dimasukkan dibawah Autonomi Bangsamoro telah dikenalpasti.

3.0  Pengajaran daripada Sejarah  Filipina

Rakyat Malaysia harus pelajari apa yang telah dilalui oleh rakyat Filipina terutama penduduk Islamnya apabila dijajah kuasa imperialis Barat. Walaupun kedua-dua negara melalui zaman penjajahan oleh kuasa asing tetapi rakyat masing-masing melalui keadaan yang tidak serupa. Bagi rakyat Filipina negara mereka melalui perubahan yang mendadak ketika zaman penjajahan. Sukar dipercaya bahawa Kepulauan yang pada satu masa dahulu dibawah pemerintahan Islam telah bertukar status menjadi negara katolik terbesar di Asia.

3.1 Kejatuhan Pemerintahan Kerajaan Islam

Bagaimana ini boleh terjadi?

Secara kasarnya kita boleh anggap bahawa fakta-fakta utama yang menyumbang kepada kejatuhan pemerintahan Islam adalah:-

i) Keadaan Geofizikal Pulau-Pulau

Filipina merupakan arkipelago atau gugusan pulau-pulau yang berbeza saiz. Terdapat lebih 7,000 pulau kesemuanya. Keadaan ini menyumbang kepada kesukaran untuk mentadbir secara menyeluruh.

ii) Tiada Satu Sistem Pentadbiran Pusat

Oleh kerana keadaan sediakala geofizikal negara berpecah-pecah maka pentadbiran pun sulit sekiranya tiada satu sistem pentadbiran pusat.
Oleh kerana tiada satu sistem  pemerintahan berpusat yang kukuh maka penyebaran Islam melalui proses yang lama.

iii) Tentangan daripada penduduk asal

Memandangkan majoriti penduduk asal  adalah pelaut  maka cara hidup mereka selalu bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk menyara hidup. Dengan cara hidup sebegini mereka menempuh berbagai cabaran dan halangan seperti diserang oleh musuh dan menempuh keadaan laut yang tidak menentu.  Maka tidak hairanlah kalau mereka bersifat menentang dan menolak kepada perubahan.
Oleh itu kita dapati pemerintahan bersultan hanya bermula pada akhir abad ke15 dan memerintah sampai pertengahan abad ke16 (1543) walaupun Islam telah mula menapak  seawal abad ke13. Jelas terdapat tentangan hebat daripada penduduk asal untuk memeluk ugama Islam dan sekali gus menerima pemerintahan bersultan.

iv) Tiada Kesepakatan

Mengikut cerita tradisi berlaku pertelingkahan antara Datu-Datu yang berlainan wilayah. Ini menyebabkan ada Datu-Datu yang menyebelahi ekspedisi Spain. Kematian Magellan adalah disebakan seorang Datu berkomplot dengan Magellan untuk membunuh Datu Lapu Lapu di Pulau Mactan. Namun rancangan itu gagal dan sebaliknya Magellan dibunuh.

v) Kematian Magellan

Kerajaan Spain tidak berputus asa untuk menaklok Arkipelago selepas  kematian Magellan. Beberapa ekspedisi dilancar sehingga berjaya menawan beberapa pulau pada 1543. Namun pihak Spain hanya dapat mendirikan kerajaan pada 1565 iaitu hampir suku abad.
Ini bermakna walaupun menggunakan peperangan, kerajaan Spain mengambil masa hampir suku abad untuk menawan keseluruhan Arkipelago. Bayangkan pula betapa sukarnya pemerintahan Islam hendak bertapak tanpa mengguna kekerasan dan paksaan.

Oleh itu  tidak hairanlah kalau pemerintahan Islam tersungkur dan Kerajaan Katolik Spain memerintah daripada 1565-1898.

4.0 Entiti Wilayah Bangsamoro

Sejak Presiden Aquino III mengambil alih pucuk pimpinan, perjuangan kaum Moro telah diberi nafas baru. Atas cadangan Presiden Aquino III, Wilayah Autonomi Islam Mindanao di tukar kepada Wilayah Autonomi Bangsamoro. Bangsamoro bukanlah nama bangsa tetapi nama Wilayah yang terlibat untuk diistiharkan sebagai Wilayah Autonomi.

Lazimnya pemerintahan secara kekerasan akan berjaya akhirnya.Kerajaan Republik (Katolik) Filipina tetap memerintah sebagai Kerajaan Pusat. Pejuang Moro masih  menunggu. Mereka menunggu pembentukan entiti wilayah Bangsamoro sehingga 2016 untuk menjadi kenyataan.

4.1 MILF -GPH  

Apabila MNLF telah menandatangani Perjanjian Damai pada 1987  dengan menyujuterima tawaran daripada Kerajaan Filipina keatas wilayah yang terbabit diistihar sebagai separuh-autonomi dan menubuhkan ARMM, MILF yang telah keluar daripada MNLF pada 1978, menolaknya  sama sekali. Ekoran daripada penolakan ini, MILF meneruskan tindakan menentang Kerajaan.
Oleh itu segala rundingan perdamaian antara Kerajaan Filipina (GPH) adalah dengan MILF dan tidak lagi dengan MNLF. MILF sekarang diketuai oleh Al-Haj Murad Ebrahim setelah ketuanya yang pertama Hashim Selamat meninggal pada 13 Julai 2003.

Namun pada hakikatnya orang Moro telah kehilangan kuasa asal dan tanah nenek moyang mereka.Mereka terpaksa berundur dan jadi orang pelarian. Akhirnya mereka mencari penempatan baru di Selatan Filipina, di pulau-pulau yang tiada pembangunan jika dibandingkan apa yang terdapat di Luzon. Bukan saja mereka lari setakat  ke pulau-pulau di Selatan Filipina bahkan mereka telah sampai hingga ke Sabah. Tujuan mereka hanya untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Walaupun pejuang Muslim yang dipanggil Moro ini mempunyai tujuan membebaskan penduduk Islam daripada diperintah oleh Kerajaan Katolik Filipina namun masih terdapat mereka yang tidak sepakat dan menubuhkan parti masing-masing. Maka daripada satu MNLF berpecah pula kepada MILF, Barisan Kiri Abu Sayaf, Jemaah Islamiah dan beberapa pergerakan lain.

Sekilas pandang seakan menyamai keadaan politik dinegara kita sekarang…bukankah?

4.2   Umat Islam Harus Berbalik Kepada Ajaran Allah swt.

Sejak azali lagi sejarah menceritakan bagaimana umat Islam ditindas dan dibunuh dalam negara sendiri. Perang saudara menjadi lumrah dalam negara Islam sendiri. Apatah lagi kalau penduduk Islam merupakan kumpulan minoriti. Tiada  pembangunan dikawasan-kawasan dimana penduduk Islam adalah majoriti. Tiada bekalan air bersih dan jalan-jalan raya yang bertar. Inilah hakikatnya jika umat Islam merupakan kumpulan minoriti mahu pun majoriti tapi tidak bersatu dan sentiasa berperang di negara sendiri.

Namun bagi  penduduk Islam di Filipina mereka bukanlah merupakan penduduk minoriti pada asalnya. Pemerintahan Islam telah sampai hingga ke Pulau Luzon. Tetapi dengan datangnya penjajah Katolik Spain semuanya bertukar wajah.Penduduk Islam diperangi dan ditolak jauh ke pulau-pulau di Selatan Filipina dimana tiada  sebarang pembangunan. Pejuang kebebasan Moro impikan kemerdekaan daripada pemerintahan kerajaan bukan Islam.Namun mimpi mereka amat sukar untuk menjadi kenyataan kerana mereka sendiri tidak bersatu untuk menentang kerajaan pemerintah.

Bangsamoro bukanlah satu-satunya Wilayah di Selatan Filipina dan di dunia yang melalui  pergolakan ini. Di negara Selatan Thai juga  terdapat  komuniti Islam yang diperangi oleh Kerajaan Thai. Mereka juga berkehendakkan kebebasan daripada pemerintahan kerajaan bukan Islam.

Akhir-akhir ini timbul pula kisah kaum Rohingya menjadi pelarian di negara sendiri. Masalahnya pihak kerajaan dan masyarakat Myanmar bukan Islam  umumnya tidak menerima mereka sebagai rakyat Myanmar. Negara jiran Bangladesh juga tidak menerima mereka sebagai rakyat Bangladesh.

Perang saudara di Syria masih berlaku. Ramai rakyat yang tidak berdosa terbunuh. Bahkan bukan saja di Syria tapi kebanyakan negara-negara di Timur  Tengah melalui pergolakan dan pemberontakan.

Mengapa jadi begitu?

Soalan-soalan dibawah harus dijawab oleh umat Islam sendiri :-

1. Mengapa dan bagaimana secara khususnya umat Islam ditindas dan negara Islam secara umumnya  mundur, lemah dalam
memerintah dan mentadbir negara sendiri?

2. Apakah umat Islam tidak memahami ugama mereka?

3. Adakah mereka tidak membaca Al-Quran dan mengambil iktibar daripada kisah kaum-kaum yang engkar?

Pemimpin atau pemerintah negara-negara Islam perlu mengambil iktibar  daripada pergolakan  yang berlaku dan menjalankan tanggongjawab mereka sebagai khalifah.

Bacalah kisah kaum Nabi Noh, Nabi Luth dan Nabi Shuaib (diantara banyak kisah-kisah dalam Al-Quran) yang  telah dibinasakan kerana tidak mematuhi ajaran Allah yang diajar melalui Nabi-Nabi mereka.

Umat Islam jika hendak berjaya haruslah bersatu dan berbalik kepada ajaran Allah. Nescaya perjuangan tidak akan kecundang ;  tidak akan ditindas  mahu pun  diperhambakan atau diperlekehkan oleh orang bukan Islam.

INSYA ALLAH…

*Tarsila – pengajian sejarah dan asal usul keluarga.

NB:    Pada pendapat saya memanglah sesuai bagi Malaysia memegang peranan sebagai mediator dan pemantau  memandangkan ia mempunyai beberapa kepentingan jika perjanjian damai ini berhasil.

  • Pertamanya dapat menyelesaikan permasalahan  pelarian-pelarian Moro dan rakyat Filipina khususnya yang telah menimbulkan masalah pendatang asing kepada rakyat dan kerajaan Sabah. 
  • Keduanya dapat menamatkan tuntutan Kerajaan Filipina keatas Sabah.
  • Ketiga, membuka peluang kepada Malaysia melabur  bagi tujuan membangunkan wilayah-wilayah dibawah autonomi Bangsamoro.