Gunong Singgalang daripada bilik Hotel,The Hills

Sebaik saja menjejakkan kaki kedalam bangunan Bandar Udara Internasional Minangkabau kedengaran azan Asar berkumandang. Buat pertama kalinya didalam sejarah kunjungan kami keluar Malaysia, terdengar azan dalam bangunan lapangan terbang. Sungguh terharu dan rasa kesyukuran kepada Ilahi. Kunjungan kami ke Bukit  Tinggi, Padang adalah agak mendadak  walaupun saya sudah lama impikan untuk kemari. Apa yang saya ingat  daripada arwah ibu saya bahawa nenek dan datuknya  berasal daripada Bukit Tinggi. Selainnya diluar pengetahuan saya.

Bandar Udara atau didalam bahasa Malaysia Lapangan Terbang , terletak di Tabing, Padang. Oleh itu nama lain lapangan terbang ini ialah Lapangan Terbang Tabing. Penduduk disini khususnya dan juga di Indonesia amnya gemar memendekkan bahasa yang diguna. Maka janganlah terasa pelik jika terdapat dipapan tanda disiring jalan tertera perkataan Bandara. Ini adalah rengkasan daripada perkataan Bandar Udara.
Kalau  dari Malaysia hendak ke Padang, Sumatera, kita harus menaiki penerbangan Air Asia walau pun dulu MAS  mempunyai laluan ke sini. Tetapi  sekarang sudah dihentikan. Bila dan kenapa tidak pasti. Sebenarnya kunjungan saya ke Bukit Tinggi, Padang ini adalah yang pertama kali. Pengalaman baru bila menaiki penerbangan  Air Asia selepas enam tahun adalah menikmati hidangan nasi briyani. Makanan ini perlu ditempah semasa menempah tiket on-line. Rasanya seenak nasi briyani yang disediakan dalam  penerbangan FireFly ke Kota Kinabalu sebelum perkhidmatan ini dihentikan sama sekali.

Seiring dengan kunjungan yang pertama kali  ke Padang, berlaku pula pengalaman buat pertama kalinya keatas diri saya. Elok saja masuk kedalam bangunan  Bandar Udara Internasional Minangkabau kami pun menuju kaunter pemeriksaan paspot. Bila tiba giliran saya, dan sejurus  selepas petugas imigresen tersebut memeriksa paspot ,  beliau  mengarah  supaya saya berdiri didepan kamera yang terletak dimejanya. Kehairanan saya pun turutkan saja. Dalam fikiran, adakah wajah saya dalam paspot mencurigakan sehingga perlu diambil foto sekali lagi. Saya sedar bahawa saya tidaklah fotojinik. Perasaan hairan saya hilang bila suami  menjelaskan munkin foto dalam paspot tidak begitu terang sebab itulah petugas imigresen mengarah  saya berbuat demikian. Sedap sikit hati.

Sebaik saja keluar daripada bangunan lapangan terbang kami disambut oleh pemandu kenderaan daripada  The Hills. Hotel The Hills adalah  nama tempat penginapan yang termasuk dalam pakej cuti  4h/3m di Bukit  Tinggi, Padang  oleh Air Asia. Perjalanan mengambil masa lebih daripada 2 jam. Apabila agak hampir  ke pusat bandar  kelihatan sebuah bangunan bernama Rumah Sakit Stroke Nasional. Terfikir dek saya kemunkinan statistik  penyakit stroke disini begitu tinggi sehingga memerlukan rumah sakit khas. Sebelum sampai ke The Hills, kami sempat singgah untuk makan malam. Sebagai membuka langkah kami menjamu nasi padang. Selepas kekenyangan bercampor dengan keletihan daripada perjalanan yang menempuhi selekoh demi selekoh dan trafik yang agak sesak maka kami berkeputusan untuk rehat sahaja dibilik. Aktiviti seterusnya akan dimulakan keesokan pagi.

Saya dikejutkan daripada tidur oleh bunyi enjin motorsikal atau dipanggil honda disini . Sejurus kemudian kedengaran azan subuh dan dituruti dengan suara kanak-kanak mengaji Al-Quran. Walaupun pagi Ahad tetapi aktiviti keagamaan telah mula begitu awal. Kami pun mengambil masa bersiap untuk turun sarapan. Sebelum itu , suami saya berjaya menghubungi pemandu pelancong yang disyorkan oleh adik ipar saya. Syukurlah rezeqi menyebelahi kami kerana beliau bersetuju untuk menjadi pemandu selama 3 malam kami berada di Bukit Tinggi.

Hari 2 ( sebenarnya hari 1 aktiviti lawatan ) : Pemandu kami adalah  seorang penduduk tempatan dan bekerja dengan Royale Holiday.Kami memanggilnya Pak Jon. Beliau tidaklah begitu berumur tetapi di Indonesia bila sudah berkeluarga dipanggil Bapak. Seperti yang dijanjikan beliau tiba di lobi hotel kira-kira jam 10:00pagi waktu tempatan. Waktu tempatan Indonesia lewat 1 jam dengan waktu di Malaysia.

Itineri kami yang pertama pagi itu adalah mengunjungi Rumah Sulaman Hj Rosmah. Didalam perjalanan ke tempat ini pemandu kami bercerita tentang aktiviti ekonomi di Bukit Tinggi. Penduduk disini kebanyakan menanam padi, berusaha menenun kain songket dan menyulam. Selain daripada hasil kraf tangan,  mereka juga usahakan bermacam aneka keropok. Keropok terkenal di Bukit Tinggi  ialah keropok Sanjai. Keropok ini diperbuat daripada ubi kayu  dan bersalut cili. Jika tidak mahu yang bercili  pun ada.

Selepas melihat hasil sulaman di Rumah Hj Rosmah kami  beransur  ke  Cafe KINIKO.  Disini disediakan pisang salai goreng, minuman daun teh kopi,  minuman kopi  tempatan  yang ditanam oleh orang kampong  berhampiran  dan jus pinang muda. Semuanya dihidangkan percuma melainkan jus pinang yang dicaj sebanyak 10k Rp  segelas iaitu lebih kurang RM3.00.Pemandangan di KINIKO Cafe amat  tenang sekali  dengan gambaran bukit-bukau dan sawah padi sejauh mata memandang.  Selepas siap menghirup kopi panas, merasa pisang salai goreng dan tidak lupa juga mencuba  jus pinang muda kami pun beransur kedestinasi seterusnya. Diam tak diam sudah tiba masa untuk makan tengah hari walaupun kami masih kenyang.

Kami sambong perbualan dengan Pak Jon. Saya menerangkan kepada beliau tujuan utama saya kemari adalah untuk melihat keadaan kampong nenek moyang( disebelah ibu ) saya. Tapi malangnya saya tidak tahu apa nama kampong dan suku mereka. Pak Jon menambah jika diketahui nama suku, beliau boleh bantu mengesan keluarga arwah ibu saya. Beliau  pernah membantu satu keluarga daripada Malaysia yang datang mencari keluarga mereka di Bukit Tinggi hingga berjaya. Beliau hanya mengambil masa 2 hari saja. Saya langsong bertekad bahawa sekembalinya kami ke Malaysia saya akan mengumpul seberapa  banyak maklumat yang boleh. Sementara itu  kami hanya menghabiskan percutian ini dengan menikmati keindahan pemandangan di Bukit Tinggi sambil membeli cendera hati untuk keluarga  di Malaysia.

Pak Jon turut menceritakan kepada kami bahawa penduduk disini kebanyakan terdiri daripada orang Minangkabau dan berugama Islam. Maka  tidak hairanlah bila kelihatan masjid disetiap jalan di dalam bandar dan disepanjang perjalanan daripada lapangan terbang menuju tempat penginapan kami.Untuk makan tengah hari kami dibawa ke Pondok Flora di kawasan Tanah Datar.  Suasananya juga begitu hening dan nyaman. Walaupun kami tidak begitu lapar bolehlah habis nasi 1/2 pinggan. Selesai makan  dan solat zohor kami teruskan perjalanan ke aturcara climaks  iaitu mengunjungi Istano Basa Pagaruyung yang terletak di Batu  Sangkar.

Menurut Pak Jon istana tersebut sedang diperbaiki kerana mengalami kebakaran. Menurutnya lagi  bumbung rumah Minangkabau  yang bertanduk membawa maksud tersendiri. Jika didapati bumbung rumah itu mempunyai sepasang tanduk bererti  hanya terdapat  1 keluarga saja yang mendiami rumah tersebut. Jika 3 bermakna 2 keluarga dan 4 bermakna rumah ketua kampong. Jika 5 rumah ketua suku dan jika 6 keatas kediaman keluarga diRaja.
Sebelum saya menjelaskan lebih lanjut aktiviti-aktiviti yang dilakukan pada keesokan hari  biar saya menceritakan asal usul  perkataan Minangkabau  dan Pagaruyung.
InsyaAllah  didalam tampalan seterusnya…

p.s. Mengikut Pak Jon Rumah Sakit  Stroke Nasional  yang berada di Bukit Tinggi ini  adalah satu satunya di Indonesia. Ini menguatkan lagi tangkapan saya bila diberitahu bahawa masakan penduduk disini banyak yang berlemak. Maka penduduk yang  diserang penyakit stroke adalah  satu perkara yang sering berlaku.