Sejarah banyak memberi pengajaran. Kisah sejarah yang paling penting untuk kita ambil iktibar ialah mengenai peperangan yang tercetus akibat berlakunya revolusi pemikiran rakyat. Terdapat beberapa punca kenapa berlakunya revolusi didalam sesebuah negara.  Salah satu punca utama ialah bila rakyat merasakan  hidup mereka terlalu tertekan, dizalimi dan mengalami kesusahan serta dalam keadaan melarat. Ini menimbulkan perasaan memberontak dan mahukan perubahan. Pada lazimnya kalau pemerintah tidak berlaku adil, menindas, korup dan  bermaharaja lela atas perbuatan-perbuatan mereka maka akan lahirlah perasaan marah dikalangan rakyat. Tidak hairanlah  kalau pemerintah itu digulingkan.

Selain daripada rasa ditindas, rakyat  yang sudah matang pemikirannya berkehendakan sesuatu  yang baru. Mereka mahukan perubahan atas sebab perubahan.Tapi tak semua perubahan itu membawa kebaikan.Walau apa pun hasrat untuk perubahan akan dilahirkan melalui tunjuk perasaan atau melalui revolusi.Tidak semua revolusi pula menguna senjata api tapi jika tidak dibendung daripada awal akhirnya akan mencetuskan kekacauan, bunuh membunuh dan akhirnya berperang. Sama juga keadaannya jika negara yang ditakloki  dan diperintah oleh kuasa asing. Rakyat negara yang dijajah lama kelamaan akan inginkan kemerdekaan. Cuma kelainannya adalah cara mereka memperolehi kemerdekaan.

1.0 Perjuangan Kemerdekaan  Malaya

Sebagai seorang rakyat Malaysia kita patut rasa bangga kerana Malaya ketika itu memperolehi kemerdekaannya secara aman.Kejayaan ini harus kita berterima kasih kepada pemimpin ketika itu, iaitu YAM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.Namun bukan YAM Tunku seorang yang berperanan menjayakan cita-cita rakyat ini tetapi terdapat beberapa tokoh lain diantaranya seperti Dato’ Abdul Razak Hussien, Dr Ismail Abdul Rahman, V. T. Sambanthan, Ong Yoke Lin dan Col.H.S.Lee. Muktamatnya pada 8 Februari 1956, YAM Tunku dan Col.H.S.Lee menanda tangani Perjanjian Pengistiharaan Kemerdekaan di London dengan dihadiri  oleh pemimpin-pemimpin komponen Parti Perikatan dan wakil Raja-Raja Melayu.

Sebelum Perjanjian Pengistiharaan Kemerdekaan dimeterai di London, YAM Tunku bersama pemimpin Parti MCA dan MIC  menghadapi beberapa cabaran untuk menyakinkan pihak British bahawa Malaya telah layak untuk menuntut kemerdekaan. Diantara cabaran-cabaran tersebut, yang paling utama adalah untuk mengadakan pilihan raya umum Persekutuan buat pertama kalinya. Kedua membentangkan cadangan-cadangan kepada pihak British bagi langkah persiapan menuju kemerdekaan dan akhir sekali penyediaan dana bagi tujuan satu dan dua diatas.

Keputusan pilihan raya umum Persekutuan yang pertama merupakan penentuan bagi Malaya mencapai kemerdekaan.Pada hakikatnya memang menjadi hasrat pihak British agar perkongsian kuasa antara tiga kaum utama di Malaya dapat diujudkan. Diatas kesedaran ini YAM Tunku pun menubuhkan Perikatan dimana ianya terdiri daripada gabungan antara UMNO-MCA-MIC. Selanjutnya  jika Parti Perikatan  memperolehi kemenangan yang besar maka ini dapat membuktikan kepada pihak British bahawa rakyat pada amnya  dapat menerima konsep pergabungan tiga pertubuhan kaum.Penerimaan rakyat  ini secara langsong  akan menyedapkan hati pihak British bahawa kaum minoriti di Malaya tidak akan dipinggirkan. Seterusnya dengan kemenangan yang diperolehi oleh Parti Perikatan dalam pilihan raya  kelak  dapat  menyakinkan pihak berkuasa British diatas kepimpinan YAM Tunku disamping mempermudahkan urusan menuntut kemerdekaan.

Seperti yang ditakdirkan, nasib menyebelahi Parti Perikatan. Parti memenangi 51 daripada 52  kerusi yang bertanding  pada 27 Julai 1955. Keputusan ini memberi perangsang kepada pejuang-pejuang untuk meneruskan hasrat menuntut kemerdekaan.

Cabaran seterusnya adalah untuk memulakan perundingan dengan pihak berkuasa British. Beberapa rundingan telah diadakan dan akhirnya satu rombongan pemimpin Parti Perikatan dan wakil Raja-Raja Melayu telah berangkat  ke London pada Januari – Februari 1956 untuk memeterai Perjanjian Pengistiharaan Kemerdekaan.

Seperti  yang telah dinyatakan, dana diperlukan bagi persiapan pilihan raya umum dan rundingan-rundingan dengan pihak British. Ini merupakan satu lagi cabaran bagi YAM Tunku dan pemimpin parti komponen Perikatan. Oleh itu YAM Tunku terpaksa berkorban dengan menjual beberapa harta beliau bagi menampong perbelanjaan PRU dan rombongan rundingan kemerdekaan ke London.
Kisah kesempitan wang ini telah sampai kepengetahuan rakyat. Berikutan itu ramailah wanita Melayu memberi sumbangan dalam bentuk wang dan barang kemas kepada YAM Tunku. Tidak ketinggalan juga sumbangan daripada Permaisuri Agong Pertama (YAM Tuanku Puan Khursiah) yang menghadiahkan gelang tangan Baginda. Seperti yang dibukukan oleh YAM Tunku  dalam ” Political Awakening” – pada satu mesyuarat UMNO/MCA di Bangunan UMNO Melaka- sebelum berangkat ke London, YAM Tuanku Puan Khursiah telah mencampakkan gelangnya kepada YAM Tunku dari balkoni bangunan tersebut.Sumbangan-sumbangan ini turut memberi  perangsang kepada YAM Tunku dan wakil-wakil rombongan Kemerdekaan ke London untuk meneruskan perjuangan mereka disamping menjadi satu kenangan indah yang tidak boleh dilupakan.

Berkaitan cabaran kedua, YAM Tunku menyediakan lima cadangan sebagai persediaan menuntut kemerdekaan. Diantaranya ialah untuk menentukan kerakyatan dan polisi pelajaran negara. Dua perkara yang amat berat ini perlu dilakukan oleh YAM Tunku dan pemimpin parti komponen Perikatan sekiranya hendak mencapai kemerdekaan. Tiga cadangan lain adalah; memberi keampunan kepada penyokong komunis; mengadakan Majlis Perundangan (Legislative  Assembly) dengan ahli-ahli yang dilantik; menyediakan Perlembagaan Malaya Merdeka.

1.1  Perjuangan  Malaya Merdeka

 Seiring dengan pencapaian kemerdekaan, Perlembagaan Malaya Merdeka dibentuk  dan diantara peruntukan yang diutamakan adalah:-

  • Kerajaan Malaya terdiri daripada Perlembagaan Raja Berparlimen.
  • Orang Melayu didefinasikan sebagai mereka yang berugama Islam, mengamalkan cara hidup Melayu dan bertutur dalam Bahasa Melayu.
  • Ugama Islam menjadi ugama resmi negara dan Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan.
  • Sistem Pelajaran Negara diantaranya menetapkan bahawa sekolah aliran bahasa ibunda hanya dibenarkan pada tahap sekolah rendah sahaja.
  • Kaum Melayu diberi hak istimewa.

2.0 Nusantara Indonesia Merdeka

Ketika Malaya baru menuju kemerdekaan, jirannya Indonesia telah capai kemerdekaan lebih sedekad lamanya. Namun jalan yang dilalui amatlah panjang. Walaupun Indonesia dibawah pimpinan Soekarno dan Mohd. Hatta telah mengistiharkan negara mereka merdeka pada 17 Ogos 1945, namun pergelutan kuasa masih berlaku dengan pihak berkuasa Belanda. Setelah empat tahun berlalu, ekoran daripada desakan kuasa antarabangsa, Belanda akhirnya memindahkan kuasa pemerintahannya kepada Republik Bersatu Negara Indonesia pada Disember 1949. Walau bagaimanapun pada 2005, kerajaan Belanda bersetuju mengiktiraf bahawa 17 Ogos 1945 sebagai tarikh Indonesia merdeka.

Kemerdekaan Indonesia  daripada kuasa penjajah Barat adalah melalui kekerasan dan perlawanan bersenjata sejak abad enam belas lagi. Bermula dengan penjajahan Portugis, kemudian Belanda-Inggeris, Belanda, Perancis, Jepun, dan ketangan Belanda kembali sehingga merdeka pada 1945.

Perjuangan kemerdekaan Indonesia melibatkan dua wilayah iaitu dalam Pulau Jawa dan luar Pulau Jawa.

2.1   Dalam Pulau Jawa

Pada 1522  kuasa imperialis Barat, iaitu kerajaan Katolik Portugis, berjaya mendirikan benteng di Sunda Kelapa (Jakarta sekarang). Namun Portugis tidak dapat bertahan lama, hanya sampai 1527. Sunda Kalapa telah ditawan kembali oleh Sharif Hidajatullah atau Sunan Gunung Jati bersama menantunya Fatahillah (@Faletehan). Nama Sunda Kalapa ditukar kepada Fathan Mubina.Kemudiannya disebut Jayakarta dan akhir sekali bertukar kepada Jakarta, bermaksud kemenangan lengkap (kemenangan paripurna).
[Pada masa yang sama pihak Portugis juga telah menjalin hubungan diplomatik dengan Kesultanan Ternate, salah satu Kesultanan di Kepulauan Maluku (Moluccas) – ini adalah diluar Pulau Jawa]

Seawal 1602, Belanda telah menempatkan pusat perdagangan mereka di Banten, Jawa Barat. Syarikat perdagangannya dipanggil Dutch East India Company (VOC).
Pada 1619, pihak Belanda telah menduduki Jayakarta  dan seterusnya menukar nama kepada Batavia.

Pulau Jawa kemudiannya bertukar tangan daripada satu penjajah kepada yang lain sambil ditentang dengan perlawanan bersenjata oleh rakyat tempatan. Beberapa pemberontakan dan peperangan telah berlaku didalam Pulau Jawa antaranya; Pemberontakan Sultan Hamengku Buano II (menentang Inggeris).Pemberontakan gagal kerana perbuatan khianat P.Natakusuma. Lt. Governor General Stamford Raffles ketika itu dapat mematahkan serangan dan Sultan Hamengku Buano II dibuang negara ke Penang. Anak kepada Sultan Hamengku Buano II diganti menjadi Sultan dan P. Natakusuma  dilantik  sebagai Adipati * Paku Alaman.

Masuk abad ke19, Kerajaan Perancis pula berkuasa di Pulau Jawa  pada 1808-1811, apabila Napoleon Bonarparte menawan Netherland  dan meletakkan adiknya sebagai Raja Netherland pada 1806. Semasa Kerajaan Perancis berkuasa pusat pemerintahannya dipindahkan ke Paris Van Java (Bandung kini) .

Pada  1811-1816, Pulau Jawa dikuasai sementara oleh Lt.Governor General Stamford Raffles. Semasa Raffles memegang kuasa di Batavia, berlakunya penggantian  kuasa diatas wilayah jajahan Belanda dan British melalui Perjanjian London 1824. Dutch East India Company (VOC) mengambil alih kuasa sepenuhnya di Indonesia manakala East India Company (EIC) mendapat wilayah Melaka, Singapura, Sri Langka dan Tanjong Pengharapan(Cape of Good Hope) sebagai ganti.
Begitulah kancah penjajahan yang berlaku  di Nusantara Indonesia khususnya.

2.2 Luar Pulau Jawa

Memandangkan Nusantara Indonesia merangkumi banyak pulau diantaranya Pulau Sumatera- pulau kedua terbesar, dan diikuti dengan Pulau Jawa, kedua-duanya mempunyai kedudukan geografi yang strategik. Makanya kedua-dua pulau ini banyak mengukir sejarahnya masing-masing.

Aceh adalah bandar utama disebelah utara Sumatera. Bandar ini juga dikatakan tempat persinggahan pedagang Islam dari Semenanjong Arab. Maka tidak hairanlah Aceh menjadi pusat tersibarnya ugama Islam hingga ke Pulau Jawa dan kepulauan-kepulauan yang lain termasuk Semenanjong Tanah Melayu. Dari kedudukan geografinya, kapal-kapal daripada Barat, Timur  Tengah dan Asia yang melalui Lautan India akan melalui pelabuhan Aceh. Ini termasuklah kapal dagang dari Portugal, England, Netherland, Perancis, India, dan Timur Tengah.

Selepas  penjajah Portugis  menakloki  Melaka , mereka mula memandang ke Pulauan Maluku. Seperti yang tercatit diatas, Kerajaan Portugis telah mengadakan hubungan politik dengan Kesultanan Ternate  pada 1522 selama lebih 50 tahun. Namun pada  tahun 1575, Sultan Baab Ullah telah mengusir  Portugis  keluar daripada Ternate atas sebab mereka bersikap menindas.

Kemudian diikuti pula dengan kehadiran kapal dagang British yang sampai ke Aceh dan terus membina pusat dagang mereka di Batam pada 1602. Syarikat kepunyaan British, East India Company  terus  memasuki ke kepulauan Maluku , Banda , Sulawesi (Makasar) dan Borneo (Kalimantan).Di Pulau Sumatera pihak British terus berdagang di Jambi  dan Periaman.
Pertindihan pengaruh antara  syarikat British EIC  dengan syarikat Belanda, VOC  juga berlaku di luar Pulau Jawa. Permasalahan ini diatasi dengan perjanjian yang sama iaitu Perjanjian London 1824  untuk wilayah-wilayah jajahan diluar Pulau Jawa.Begitulah angkuhnya kuasa imperialis Barat membahagi-bahagikan wilayah jajahan mereka seumpama membahagi makanan.

Walaupun rakyat  tempatan bersemangat waja dan gigih untuk melawan, namun kuasa penjajah Barat tidak dapat dikalahkan. Peperangan yang terkecundang diluar Pulau Jawa melawan kuasa penjajah diantaranya meliputi;

Perang Lampung: 1832-1833, 1856  (Kesultanan Banten-Belanda)

Perang Banjarmasin:  1859-1863 ( Kesultanan Banjarmasin-Belanda)

Perang Batak : 1872-1907 ( Pemimpin Islam Si Singamangaraja XII dan Putrinya -Belanda)

Perang Aceh :  1873-1914  (Kesultanan Aceh – Belanda)

2.3 Perjuangan Indonesia Merdeka

  • Perjuangan yang dilalui  penuh dengan perit getir, memakan masa yang amat panjang, mengalami pertumpahan darah sehingga Sultan dihukum buang negara.
  • Walaupun matlamat perjuangan rakyat Indonesia adalah untuk menegakkan ajaran Islam namun atas penolakan dan tekanan kuasa pihak penjajah iaitu Kerajaan Protestan Belanda, Islam tidak dapat diiktiraf sebagai ugama resmi negara tetapi hanya boleh bebas berugama.
  • Ekoran penindasan daripada kuasa penjajah, kuasa Kesultanan pun diancam, akibatnya terdapat diantara Sultan-Sultan di Pulau Jawa mahu pun di luar Pulau Jawa lari ke Semenanjong Tanah Melayu untuk menyelamatkan diri.
  • Tiada keistimewaan untuk anak bangsa  walaupun kepada penganut Islam dan tiada sebarang rupa bantuan daripada  kerajaan.
  • Hasil daripada perjuangan hidup yang penuh ranjau dan duri, melahirkan anak bangsa yang berperibadi gigih,tidak mengenal putus asa dan paling penting tetap teguh dengan jatidiri.

3.0  Pelajaran Daripada Sejarah Perjuangan Kemerdekaan

  • Akan berlaku pergolakan dalam pemerintahan sesebuah negara bila pemimpin dan rakyatnya sudah lupa diri dan lupa akan sejarah.
  • Jangan meniru budaya atau terpengaruh dengan dakyah kolonial kerana merekalah yang bertanggongjawab memecahbelahkan rakyat (divide and rule policy).
  • Bertanggapan segala yang berasal daripada Barat atau negara asing itu membawa kebaikan kepada jatidiri anak bangsa.
  • Waspada kepada muslihat kuasa asing yang suka melaga-lagakan anak bangsa kerana mereka mempunyai kepentingan samada diatas hasil kekayaan sesebuah negara itu atau sengaja nak mendominasi secara politik.
  • Pemimpin Islam bila terlupa maka timbullah sikap riak, angkuh dan menganggap diri kebal justeru membawa kepada kehancuran iman.
  • Bila sejarah dilupakan, kesilapan yang sama diulangi dan ini menjurus kepada kemusnahan ugama, umah, dan negara.
  • Sejarah mengajar supaya rakyat sesebuah negara jangan berhenti berusaha, jangan mudah berputus asa untuk mencapai kejayaan disamping tidak menggadaikan ugama, jatidiri dan kedaulatan negara.
  • Perjuangan yang berlandaskan kebenaran dan mengikut hukum Tuhan akhirnya akan berjaya dan terselamat daripada kehancuran.
  • Pengkhianatan akan berlaku dimana-mana maka harus berwaspada.

NB: * Adipati – Gelaran Raja atau Ketua Daerah. Gelaran dipakai di Pulau Jawa dan khusus untuk Paku Alaman dan Mangkunegara

Fakta dirujuk daripada: 1. Buku API Sejarah – Ahmad Mansur Suryanegara
2. Political Awakening – Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj