Orang Minangkabau juga dikenali dengan panggilan orang awak atau orang
ba-i-ko.

Alkisah perkataan Minangkabau adalah daripada rangkuman dua perkataan iaitu Menang dan Kerbau. Mereka ini mendiami kawasan disebelah Sumatera Barat dimana Padang adalah ibu negeri.Pak Jon, pemandu kami semasa bercuti di Bukit Tinggi,Padang,  menceritakan bagaimana orang-orang Minangkabau mendapat panggilan tersebut sehingga kehari ini.

Pada zaman kegemilangan Empayar Majapahit berlakulah penemuan kawasan-kawasan baru  untuk ditawan sebagai tanah jajahan mereka. Maka terjadilah satu peristiwa dimana angkatan tentera Majapahit  sampai ke satu kawasan  yang sungguh kaya dengan hasil mahsul dan suasananya yang nyaman dan damai. Oleh kerana dek terpesona mereka keatas keindahan kawasan ini , mereka menamakan tempat tersebut ‘Perca’ atau dalam perkataan Sanskrit  bermaksud ‘Emas’ (iaitu Sumatera sekarang).

Apabila orang-orang kampong mendapat berita bahawa Raja Majapahit  datang untuk menawan kawasan mereka maka susahlah hati mereka. Bagaimana hendak melawan bala tentera Majapahit yang terkenal dengan kekuatan mereka sedangkan orang-orang kampong tiada apa senjata untuk melawan. Yang ada hanyalah kerbau-kerbau yang pandai berlawan.

Nasib menyebelahi orang-orang kampong  apabila mereka mengetahui bahawa orang-orang Majapahit juga mempunyai kerbau-kerbau yang boleh berlawan. Di kampong mereka terdapat seorang ketua yang amat bijak. Beliau mula mengaturkan rancangan supaya berlaga kerbau sama kerbau. Kerbau siapa yang menang maka merekalah yang berhak keatas tanah tersebut.

Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju atas cadangan ini , maka  orang-orang Majapahit pun membawa kerbau-kerbau mereka yang merupakan kerbau-kerbau betina berbadan tegap. Aduhai ..alangkah terkejutnya orang-orang kampong apabila melihatkan keadaan kerbau orang-orang Majapahit bila dibandingkan dengan kerbau mereka. Bagaimanakah peluang  kerbau mereka akan menang?

Sepertimana pembaca sedia maklum, ketua kampong mereka amatlah bijak orangnya (kalau tidak takkan jadi Ketua Kampong). Beliau pun turut merencanakan satu helah supaya dapat melawan kerbau-kerbau betina tersebut. Beliau memberitahu pengikut-pengikutnya supaya mengikat benda tajam kepada gigi anak – anak kerbau mereka. Kemudian mengikat  pisau tajam diatas tanduk kecil anak kerbau dan diselindungi dengan hiasan-hiasan cantik. Akhir sekali beliau mengarahkan supaya anak-anak kerbau  tersebut dilaparkan sehari  semalam.

Lokasi dimana  perlawanan itu akan diadakan dikenal pasti  sebagai tempat yang mendatar  dengan dipasang pagar kayu yang diperbuat daripada pokok Ruyung. Ini untuk mempastikan kerbau-kerbau betina Majapahit tidak akan lari daripada kawasan perlawanan tersebut.

Pada ketika  perlawanan bermula maka dilepaskanlah  anak-anak kerbau tadi yang dalam  keadaan kelaparan  dan kehausan kedalam pagar yang  telah disiapkan untuk tujuan perlawanan. Kerbau-kerbau betina Majapahit pun berada dalam pagar yang sama menunggu lawan mereka. Anak-anak kerbau itu pun lari menerkam kehala kerbau-kerbau betina itu dengan sangkaan bahawa kerbau-kerbau Majapahit itu adalah ibu mereka untuk menyusu.

Apa lagi….sebaik saja  mereka menyondol untuk  menyusu maka kesakitanlah kerbau-kerbau Majapahit itu dan berlumuran-darahlah jadinya. Oleh kerana luka yang amat sangat  maka tumbang dan matilah kerbau-kerbau Majapahit tersebut.

Hatta ‘menang‘lah orang-orang kampong  didalam perlawanan ‘kerbau‘ tersebut dan orang-orang Majapahit  pun  berundur  balik. Mereka pun dipanggil ‘Minang- kabau‘  atau pun menang daripada perlawanan kerbau.

Ekoran daripada perlawanan ini..tempat dimana perlawanan itu diadakan diberi nama Pagaruyung. 

Begitulah kuat semangat orang-orang Minangkabau ini dan dengan kebijaksanaan seorang Ketua Kampong , berjaya menahan tanah mereka diambil dan dijajah oleh musuh.

ps. Cerita ini tertaklok kepada faktor pencerita asal. Salah silap harap maafkan.