You are currently browsing the category archive for the ‘Islam’ category.

Pepatah Melayu berkata ..”Kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga.”

Secara rengkas maksud pepatah Melayu diatas ialah jika pengetahuan kita cetek  janganlah hendak  melawan orang yang lebih arif tentang sesuatu. Sifat seseorang yang mahu menunjuk kepandaiannya tapi tersalah tafsir atau salah faham, langkah paling baik adalah berpatah balik . Sebagai contoh, sekiranya kita tersesat mencari  tempat  yang hendak dituju, pada lazimya kita perlu berhenti dan bertanya kepada mereka yang mengetahui. Janganlah kita bersifat angkuh dan bodoh sombong sehingga tidak mahu bertanya dan akhirnya kita berpusing-pusing kerana sesat. Kedua-dua sifat ini dibenci Allah swt.

Al-quran adalah  wahyu yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw dan merupakan satu Mukjizat (Miracle) kepada Baginda.Mukjizat ini bertujuan membimbing umatnya agar tidak sesat dalam perjalanan hidup mereka. Selain daripada  itu, Al-quran merupakan ibu kepada segala buku yang mengandungi segala macam ilmu . Saya percaya ramai daripada yang bijak pandai merujuk buku hasil penulisan manusia sebagai panduan untuk menyelesai masalah kerja, untuk motivasi diri, menambah ilmu atau  sekadar  hiburan sahaja. Langkah menambah ilmu melalui membaca memanglah digalakkan. Namun begitu  manusia jangan meninggalkan daripada membaca Al-quran kerana manusia akan dapat lebih daripada itu. Ilmu  yang diperolehi daripada membaca Al-quran memberi bukan sahaja panduan hidup di dunia bahkan di akhirat. Ia merupakan Buku Rujukan  yang mutlak dan sepatutnya berada disisi manusia untuk  dibaca  setiap masa. Ingatlah bahawa isi Al-quran itu datangnya daripada Allah dan begitu juga manusia dan makhlok-makhlok yang lain. Maka kenapa kita tidak menghargai BukuNya kerana Allah adalah Maha Agong. Bukankah Ia lebih Mengetahui  daripada segalanya?

Sebenarnya apa saja ilmu yang dihasilkan oleh manusia semuanya ada terdapat didalam Al-quranul-Karim. Malahan masih terdapat lagi ilmu dalam Al-quran yang belum diterokai oleh manuisa. Kita perlu  fahami isi kandungan Al-quran untuk mengetahui segala yang ada diantara bumi dan langit. Bagi memahami inti pati Al-quran kita perlu menguasai bahasanya iaitu bahasa Arab.Jika kita dapat menguasai bahasa Arab maka amat mudah untuk kita memahami apakah maksud setiap ayat yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya.

Seterusnya untuk membantu kita memahami lebih lanjut lagi ayat Allah, adalah penting bagi  kita mengetahui mengenai sejarah ayat itu diturunkan. Pengetahuan tentang asal usul ayat itu sedikit sebanyak dapat membantu kita mengetahui tujuan ayat itu diturunkan. Secara langsong mengelakkan kita daripada salah terjemah dan tafsir.

Namun begitu atas sebab takut  salah menterjemah dan mentafsirkan ayat-ayat Allah bukanlah punca untuk kita menjauhi  Al-quran. Itu adalah salah. Ibaratkan saja  sekiranya kita tidak pandai memandu kenderaan. Langkah yang wajar ialah kita harus belajar memandu. Setelah memperolehi lesen memandu maka barulah kita boleh memandu dengan penuh yakin. Samalah juga  ceritanya dengan mempelajari  membaca Al-quran. Langkah pertama kita perlu  ada guru untuk mengajar kita  supaya setiap sebutan huruf dan ayatnya adalah betul. Jika kita telah persiapkan diri dengan cara membaca isi Al-quran  dengan  betul maka langkah kedua kita cuba memahami tafsirnya. Oleh itu marilah kita bersama-sama mendekati diri kepada Al-quran dan menguasai maksud  yang tersurat dan tersirat didalamnya. Memang tidak rugi.

1.0 Panggilan Al-Quran

Al-Quran  dipanggil dengan berbagai nama. Diantaranya ialah:-

i.   Al-Kitab (Surah Al-Baqarah: Ayat 2; Surah Al-Anbiya:Ayat 10).

ii.  Al-Furqan (Surah Al-Furqan:Ayat 1)

iii. Zikr  (Surah Al-Hijr: Ayat 9)

iv. Tanzil (diturunkan)  ( Asy – Syu’ara : Ayat 192)

2.0  Al-Quran sebagai Mukjizat

Al-quran adalah Mukjizat kepada Nabi Muhammad saw daripada Allah swt  untuk seluruh manusia * dan ia mempunyai berbagai sifat. Diantaranya :-

2.1  Nur (Cahaya)

Dalam Surah An-Nisa Ayat 174: “Wahai manusia , telah datang kepadamu bukti kebenaran daripada Tuhanmu, dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang nyata.”

Merujuk kepada tafsir Al-Azhar yang dibukukan oleh Hamka maksud pangkal ayat diatas ialah Allah swt  telah datangkan Burhan iaitu keterangan yang besar, jelas dan nyata.Burhan membawa hakikat Iman yang besar kepada Allah supaya hidup kita selamat, berugama dan berbudi, sentosa dunia dan akhirat. Burhan ini adalah seorang Manusia iaitu Muhammad saw.

Dihujung ayat ini… dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang nyata. ”  –   cahaya yang nyata bererti  wahyu yang diterima oleh Burhan (iaini Nabi Muhammad saw) yang bernama Al- quran dengan perantaran Jibril . Al-quran merupakan cahaya yang nyata. Ini bermaksud  bila manusia membaca Al-quran dan faham akan segala pengajaran yang hendak disampaikan dan manusia mempraktikkan segala ajaran-ajaran tersebut maka jiwa mereka akan merasa tenang untuk menghadapi segala ujian daripada Allah. Manusia akan faham ertinya hidup dan kemana lanjutan sesudah mati dan apa bekal yang harus dibawa. Al-quran menerangkan puncak daripada semua kegiatan hidup iaitu  Ma’rifat kepada Tuhan. Puncak itu adalah Tauhid. Tauhid ialah mempercayai Allah itu  Satu , Dia Pencipta dan Pemelihara. Jika manusia menyelami dan memahami  isi Al-quran  maka ianya menjadi ilmu kepada mereka. Ilmu ini menguatkan iman manusia kepada keesaan Allah. Ilmu ini juga membantu  manusia bersedia melangkapkan diri  untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. In Shaa Allah.

2.2   Huda (Petunjuk); Syifa’ (Ubat); Rahmah (Rahmat); Mau’izah (Nasihat)

Sifat-sifat diatas diterangkan dalam Surah Yunus ayat 57 : “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu  nasihat daripada Tuhanmu dan ubat(syifa’) bagi ada yang didalam dada, dan petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Teralalu banyak nasihat-nasihat daripada Allah swt untuk hambaNya melalui surah-surahNya agar  mereka tidak tersesat  dalam liku-liku penghidupan dan  mempercayai keesaanNya. Pengajaran yang dibawa dalam Al-Quran ialah pembangunan akhlak (character), sikap hidup, atau pun didalam mengamalkan pekerjaan. Al-quran mengajar  agar manusia dapat membezakan mana yang baik dengan yang buruk dan mana yang benar dengan yang bathil. Didalam pekerjaan kita amalkan akhlak yang baik  iaitu bersifat tolong  menolong, hormat menghormati, berkasih sayang dan bersedekah. Allah swt  dalam Al-quran menyebut hindari sifat-sifat buruk seperti  mencuri harta orang lain, meminum minuman yang merosakkan akal, berzina, dan memakan harta anak yatim.

Tersebut hanya sebahagian daripada nasihat-nasihat Allah swt yang boleh didapati dalam Al-quran. Nasihat-nasihat dalam Al-quran merupakan pengajaran dan didikan bagi memperbaiki hubungan diantara manusia dengan Allah  swt  dan hubungan diantara manusia sesama manusia. Hubungan antara sesama manusia meliputi perhubungan anak dengan ibu bapa, antara suami dan isteri, antara pekerja dan ketua, antara rakyat dengan pemimpin dan seterusnya. Nasihat ini datangnya langsong daripada Tuhan bukan daripada  filsafat akal manusia . Nasihat bertujuan untuk kebahagian hidup hamba Allah pada setiap waktu dan tempat.

Dipertengahan ayat diatas, dikatakan nasihat-nasihat daripada Tuhan merupakan..” ubat  (syifa’) bagi ada didalam dada; ”

Apa yang ada dalam dada  manusia secara fizikal adalah  jantung. Jantung disimbolkan sebagai hati manusia atau pun hati sanubari dan hati nurani. Hati ini juga bermaksud akal, budi, ilmu pengetahuan, dan perasaan halus. Seterusnya Al-quran menyebut  apa yang ada didalam dada iaitu hati sanubari dan hati nurani sebagai pusat daripada gejala-gejala perasaan. Oleh itu  apabila manusia berasa gembira , susah, sedih dan kecewa adalah berpusat daripada hati. Namun kesemua perasaan ini boleh diubati dengan membaca Al-quran.

Sebagai contoh, tatkala manusia mengalami kesedihan diatas kembalinya seseorang yang dikasihi ke Rahmatullah atau pun mengalami kerugian berupa kebendaan , dengan memahami apa yang ternyata didalam Al-quran dapat meringankan rasa kesedihan  dan kekecewaan dihati manusia. Al-quran ada menyebut bahawa setiap yang ujud  antara bumi dan langit dijadikan  Allah swt dan ianya milik Allah swt. Oleh itu  Allah swt mempunyai kuasa mutlak untuk memberi dan mengambil balik  apa saja Yang dikehendaki . Dalam konteks ini hati manusia  dapat diubati  apabila dia mengetahui bahawa  segala  pemberian itu adalah bersifat  sementara daripada Allah swt dan manusia harus meredhakan apabila  Allah mengambil balik pemberianNya.

Selain daripada hati itu merupakan  simbolik  kepada perasaan manusia , sebagai satu  organ dalaman iaitu jantung , juga ada tempatnya didalam Al-quran. Iaitu dengan mengamalkan ayat-ayat Al-quran manusia dapat mengubati secara fizikal apa yang ada dalam dada atau pun dalam badan manusia. Seperti diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir dan Ibnu Mardawaihi  yang diterima  daripada sahabat Nabi saw, Abu Sa’id al-Khudri, kononnya seorang lelaki datang kepada Rasullullah dan mengadukan hal bahawa dadanya sakit.Maka Rasullullah bersabda kepadanya..”Bacalah Al-quran kerana Allah telah berfirman bahawa Al-quran dapat mengubat apa yang ada dalam dada.”

Didalam kisah yang lain yang diriwayatkan sendiri oleh Abu Sa’id bahawa beliau telah mengubati anak seorang ketua desa Badawi yang digit kala jengking dengan membaca  surah Al-Fateha. Begitulah diantara sifat-sifat  surah  yang terdapat  dalam  Al-quran  yang boleh mengubati penyakit  rohani dan jasmani.

Akhir sekali pada hujung ayat diatas; … ” dan petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. ”

Apabila manusia patuhi segala nasihat-nasihat  Tuhannnya dan mengguna ayat-ayat Al-quran untuk mengubati  segala penyakit samada secara rohaniah atau  jasmaniah; dan dijadikan petunjuk dalam perjalanan hidup; maka tidak dapat tidak dirasailah Rahmat Ilahi bagi dirinya, rumah tangga dan masyarakat secara amnya. Justeru dengan bersandarkan kepada  ajaran didalam Al-quran sebagai panduan hidup, manusia perlu sentiasa bertaqwa kepada Allah swt dan ganjarannya ialah kehidupan manusia dipenuhi Rahmat  daripada Allah swt di dunia dan di akhirat.

2.3   Mubin ( yang Menerangkan, yang Nyata)

Dalam Surah Al-Maidah: Ayat 15 :- “Wahai Ahlul-Kitab! Telah datang kepada kamu Utusan Kami, menerangkan  kepada kamu banyak hal dari apa yang telah kamu sembunyikan, dan Dia maafkan dari yang banyak lagi. Sesungguhnya  telah datang kepada kamu  dari Allah suatu cahaya dan kitab yang nyata.”

Banyak keterangan hukum-hukum Tuhan yang telah disampaikan kepada Ahli Kitab ** melalui Nabi-Nabi mereka seperti yang tercatit dalam Taurat dan Injil yang asal. Namun terdapat Ahli Kitab dan pemuka-pemuka Bani Israel  yang menyembunyikan daripada pengetahuan kaum mereka. Juga sudah disampaikan kepengetahuan mereka bahawa akan datangnya Roh Kebenaran (Cahaya) daripada Allah atau pun dalam bahasa Arab Ruhul Haq. Cahaya itu adalah Nabi Muhammad  saw dan Kitab yang nyata itu tidak lain dan bukan adalah Al-quran. Seperti biasa mereka tidak dapat menerima keterangan ini dan menolaknya sama sekali.

2.4  Mubarak ( yang Diberkati)

Dalam Surah Al-Anbiya: Ayat 50:- ” Dan ini pun adalah suatu peringatan yang memberi berkat; Kami turunkan dia. Apakah kamu hendak mengingkarinya? 

Daripada ayat diatas..suatu peringatan yang memberi berkat adalah bermaksud Al-quran.  Kami turunkan dia …bermaksud Al-quran diturunkan oleh Allah. Lanjutan maksud ayat tersebut menerangkan bahawa Allah telah menurunkan Al-quran  dimana jika manusia  mentaati kepada segala peringatan  dan perintah didalamnya maka hidup mereka akan mendapat restu  daripada Allah. Betapa nikmatnya hidup jika setiap langkah dan perbuatan manusia direstui Allah;  Subhanuallah!

Dihujung ayat  Allah menyoal lagi..“Apakah kamu hendak mengingkarinya?
 Ayat-ayat yang diturunkan Allah mengguna bahasa  Arab yang halus lagi fasih oleh itu  tidaklah wajar  bagi mereka mempertikaikan dan menolaknya sama sekali .

2.5  Bushra (Khabar /Berita Gembira)

Dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 97 Katakanlah (wahai Muhammad), ” Sesiapa memusuhi Jibril, kerana Jibril itu menurunkan Al-quran kedalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-Kitab yang ada dihadapannya  (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk (daripada kesesatan) dan khabar gembira kepada orang yang beriman..”

Seperti pembaca sedia maklum , Al-quran adalah wahyu Allah kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan malaikat Jibril. Wahyu Ilahi ini membenarkan  apa yang terdapat  dalam Kitab-Kitab terdahulu. Oleh itu bagi yang engkar dan kufur terhadap  Kitab-Kitab sebelum Al-quran mereka turut menolaknya. Namun bagi orang yang beriman,  Al-quran merupakan petunjuk dan berita atau khabar gembira kepada mereka kerana mereka dijanjikan balasan kehidupan yang  bahagia di akhirat atas amal saleh di dunia.

2.6  Aziz ( yang Mulia)

Dalam Surah  Fussilat : Ayat 41 :- ” Sesungguhnya orang yang mengingkari az-zikr (Al-quran) ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab yang pedih); sedangkan  sesungguhnya Al-Quran itu sebuah kitab suci yang mulia (yang tidak dapat ditandingi).”
Diatas  sifat suci  dan mulia (Aziz)  Al-Quran maka barangsiapa yang mengingkarinya akan menerima balasan yang hina daripada Allah setelah segala peringatan  disampaikan kepada mereka.

2.7  Majid  (yang Dihormati)

Dalam Surah  Al-Buruj : Ayat 21 :- ” Bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya (dihormati).”

Ayat ini jelas meletakkan kedudukan Al-quran sebagai paling dihormati. Ia dihormati kerana kata-kata didalamnya datang daripada Allah. Allah adalah Pencipta kita. Bukankah kita harus memuliakan Pencipta kita? Walaupun begitu  jangan pula kita segan atau takut untuk memegang dan membacanya setiap hari. Kata-kata Allah itu merupakan bimbingan agar kita tidak akan sesat didunia dan akan menyelamatkan kita dihari pengadilan nanti.

2.8  Bashir  (Pembawa Khabar Gembira) dan Nazir ( Pembawa Nasihat).

Dalam Surah Fussilat : Ayat 4 :-

” Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang yang beriman) dan membawa amaran /nasihat (kepada yang engkar). Dalam pada itu, kebanyakan mereka berpaling, lalu tidak mahu menerimanya.”

Al-quran sebagai pembawa khabar atau berita gembira  kepada mereka yang beriman dan pada masa yang sama memberi amaran/peringatan dan nasihat kepada mereka yang engkar dan kufur. Walaupun begitu sifatnya,  manusia tetap ada yang berpaling iaitu menolak apa yang terdapat dalam Al-quran. Alangkah bodoh dan ruginya bagi mereka ini.

Untuk makluman pembaca, surah-surah yang dipetik hanyalah sebahagian sahaja sebagai contoh bagi menerang sifat-sifat Al-quran.Terdapat banyak lagi contoh-contoh didalam Al-quran yang menerangkan sifat-sifat  yang tidak dapat dijelaskan dalam  tampalan ini.  Seperti yang dinyatakan diperengan 2.0  bahawa Al-quran itu adalah Mukjizat kepada Nabi Muhammad saw untuk seluruh manusia. Maka sesiapa sahaja tidak kira bangsa atau ugama yang mempelajari Al-quran dan memahami segala yang ada didalamnya akan mendapat pelajaran dan manfaat. Maka itu adalah disyorkan agar  para pembaca blog ini meneruskan  pengajian Al-quran  secara terperinci kerana ilmu daripadanya mencakupi  segala yang ada di bumi dan di langit .

Ma Shaa Allah.

NB:  * seluruh manusia – bermaksud kesemua ciptaan Tuhan yang hidup di bumi dan di langit.

**  Ahli Kitab – kaum Yahudi dan Nasrani yang berpegang kepada kitab Taurat, Injil, Zabur-zabur  dan Shuhuf yang lain. Namun tidak semua yang taat kepada Tuhan dan kitab-kitab mereka.

May 2024
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031